Pendahuluan

Konsep falsafah, pendidikan dan falsafah pendidikan adalah antara beberapa konsep yang kebanyakan sarjana pendidikan tidak bersepakat dalam memberi takrif yang jelas dan terperinci.  Ketiga-tiga konsep tersebut mempunyai tradisi dan ruang lingkup yang amat luas, yang tidak kurang pula dipenuhi oleh mazhab-mazhab atau aliran-aliran tertentu. Bab ini akan menghuraikan secara ringkas ketiga-tiga konsep tersebut dan juga perkaitan antara falsafah, pendidikan dan falsafah pendidikan dalam sesuatu sistem pendidikan.

Takrif  Falsafah

Istilah falsafah (philosophy) berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philies yang bererti suka atau cinta; dan sophia yang bererti kebijaksanaan atau hikmah. Oleh itu, seorang ahli falsafah atau filosof adalah seorang yang cinta kepada kebijaksanaan atau hikmah. Namun, hikmah dan pengetahuan bukanlah konsep yang sama. Pengetahuan merujuk kepada maklumat sedangkan hikmah mengandungi unsur-unsur kematangan berfikir, jauh pandangan dan memiliki basirah (insight) terhadap setiap tinjauan dan pengamatan yang dengan menggunakan pengetahuan semata-mata seseorang itu tidak mampu mencapainya.

Sifat ini jelas terpancar pada diri seorang filosof Greek tersohor, iaitu Socrates yang apabila diberitahu bahawa dia telah dianggap sebagai seorang yang paling bijaksana di Athens, dia telah menafikannya. Malah, dia dengan tegas pula mengatakan bahawa kebijaksanaannya itu adalah justeru kesedarannya sendiri tentang kejahilannya.   Dia tidak mencapai kebijaksanaan tetapi mencari kefahaman tentang isu-isu dalam kehidupan.  Kata Socrates lagi , “aku hanya seorang pencinta kebijaksanaan”.

Kneller (1971) telah membincangkan tiga stail falsafah yang dikategorikan beliau sebagai berikut:

a)      Falsafah spekulatif, iatu satu cara pemikiran yang sistematik mengenai semua yang wujud sebagai satu keseluruhan. Ia juga satu proses mencari susunan dan keseluruhan yang tidak hanya tertentu kepada satu item atau pengalaman, tetapi kepada semua pengetahuan dan pengalaman. Ringkasnya, falsafah spekulatif ialah satu usaha untuk mencari  satu  kesepaduan  bagi  semua  pemikiran  dan  pengalaman. Tujuannya ialah untuk memahami semua perkara yang berbeza yang ditemui bersama dan membentuk satu keseluruhan yang bermakna.

b)      Falsafah preskriptif, iaitu stail falsafah yang cuba menetapkan standard untuk mempertimbangkan nilai, kelakuan dan menghargai seni. Ia juga mengkaji apa yang dikatakan baik dan buruk, betul dan salah, cantik dan hodoh, dan sebagainya. Selain itu, falsafah ini turut bertanyakan sama ada kualiti tersebut terdapat pada perkara itu sendiri atau hanya muncul daripada pemikiran kita sahaja. Misalnya, kepada ahli psikologi, pelbagai bentuk tingkah laku manusia dari segi moral adalah tidak pasti baik buruknya, namun kepada ahli falsafah preskriptif, ia sentiasa berusaha untuk mencari dan mengesyorkan prinsip untuk menentukan apakah tindakan dan kualiti yang berfaedah, dan kenapa ianya harus begitu.

c)      Falsafah analitik,  iaitu stail falsafah yang memberi tumpuan kepada perkataan dan makna perkataan-perkataan tersebut. Ia juga menganalisis kenyataan-kenyataan spekulatif dan preskriptif dalam usaha untuk mempertimbangkan makna-makna yang berbeza dalam konteks yang berlainan. Falsafah ini turut menunjukkan bagaimana ketidak seragaman mungkin timbul apabila makna yang sesuai dalam konteks tertentu telah dibawa dalam konteks yang berlainan. Falsafah analitik bersikap berhati-hati, skeptik dan tidak begitu cenderung untuk membina sistem-sistem pemikiran.

Dalam Hinduisme, falsafah (darsana) bererti “melihat ke dalam” dan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian. Oleh itu, falsafah bukan sekadar untuk memperolehi pengetahuan kerana pengetahuan semata-mata atau untuk memuaskan rasa ingin tahu, tetapi untuk mengungkapkan jenis kehidupan tertinggi serta menghayatinya, iaitu kehidupan yang akan membawa keharmonian atau realisasi jiwa (nirwana). Dalam Hinduisme adalah sangat sukar untuk memisahkan antara falsafah dengan agama tersebut, justeru ada yang beranggapan bahawa Hinduisme adalah satu falsafah.

Bagi seorang filosof, berusaha mencari kebijaksaan itu adalah lebih diutamakan daripada mendapatkan kebijaksanaan itu sendiri. Apakah pendapat dan ulasan anda dalam persoalan ini?

 

AKTIVITI 1

 

Konsep Pendidikan

Konsep pendidikan sering diberikan definisi yang pelbagai, misalnya sebagai suatu proses indokrinasi; proses latihan; proses perlanjutan atau kesimbungan budaya; proses   penitisan  sesuatu  ke  dalam  diri;  dan  proses  pengembangan  potensi  individu. Sebagaimana falsafah mempunyai pelbagai aliran dan mazhab, begitu jugalah pendidikan yang mempunyai pelbagai aliran dan mazhab pemikirannya. Skop pengertian pendidikan amat luas, dinamik dan culas, namum secara umumnya pendidikan boleh dihurai mengikut tiga perspektif, iaitu: 

a)      Perspektif individu (psikologi).

b)      Perspektif masyarakat (sosiologi).

c)      Perspektif falsafah.

Dari sudut individu, Hasan Langgulung (1987) mentafrifkan pendidikan sebagai proses pengembangan potensi diri. Setiap individu adalah umpama permata di dasar laut yang mempunyai pelbagai potensi, kualiti dan nilai. Sebagaimana mutiara di dasar laut perlu digilap untuk mengeluarkan kilauan cahayanya, maka seseorang individu juga perlu diberikan pendidikan untuk membolehkannya mengembangkan pelbagai potensi dirinya.

            John Dewey (1961), secara analogi mengandaikan pendidikan sebagai “what nutrition and reproduction are to physiological life, education is to social life.”  Hasan Langgulung (1987) pula memperjelaskannya dengan berkata bahawa dari segi pandangan masyarakat, pendidikan bererti pewarisan kebudayaan dari generasi tua kepada generasi muda, agar hidup masyarakat tetap berlanjutan.  Malah, pendidikan bukan sahaja satu wadah di mana sesuatu kebudayaan itu dapat disalurkan, bahkan ia juga adalah wadah pembentukan sesuatu kebudayaan (Tanner dan Tanner, 1975).

            Beberapa definisi di atas telah memenuhi fungsi pendidikan dari aspek psikologi dan sosial.  Namun dari sudut falsafah, pendidikan harus dilihat daripada tiga perkara, iaitu input, proses dan output. Misalnya, Prof. Syed Mohd. Naquib Al-Attas (1980) mentakrifkan pendidikan sebagai proses penitisan ilmu ke dalam diri insan. Definisi ini menjuruskan fungsi pendidikan ke arah mewujudkan insan yang baik, iaitu insan yang melalui penguasaan ilmu, pengetahuan, nilai dan keterampilannya akan turut memajukan hati budi serta memperkembangkan prinsip akauntabiliti yang teguh lagi utuh terhadap Pencipta, alam, dan sesama manusia.

Sekiranya sesuatu masyarakat dapat melahirkan satu sistem pendidikan yang sebegini, maka ia sesungguhnya akan dapat mengubah, memaju, mengembang, dan seterusnya menyempurnakan manusia, masyarakat, negara, dan bangsanya.  Ternyata konsep pendidikan dilihat dari sudut ini, adalah sebagai satu proses “pengalamian” (unlearnt and relearnt),  serta ianya harus boleh mewujudkan suatu paksi dan landasan pemikiran, pemahaman, serta tindakan yang benar dalam jiwa insan yang menjadi penampung kepada pendidikan.  Justeru, ibarat anyaman dalam tenunan masyarakat, pendidikan dalam wadah yang sebegini dapat pula menyatupadukan anggotanya.

 

Apakah pendapat anda jika dikatakan bahawa pentakrifan konsep pendidikan daripada sudut falsafah adalah lebih menyeluruh dan mantap berbanding dengan pentakrifan daripada sudut-sudut pandangan yang lain?

 

AKTIVITI 2

 

Takrif Falsafah Pendidikan

Falsafah pendidikan pula biasanya merujuk kepada tulisan-tulisan tentang teori dan amalan pendidikan merangkumi watak (nature), matlamat (aims) dan kaedah (methods) serta dapat pula menjelaskan betapa eratnya hubungan antara falsafah dan teori pendidikan (O’Conner, 1957). Untuk memudahkan kefahaman, O’Conner telah mengenal pasti ruang lingkup falsafah dan pendidikan berpandukan penekanan-penekanan berikut;

a)       berdasarkan pengertian “falsafah dan pendidikan”,

b)      berdasarkan pengeritan “falsafah dalam pendidikan”, dan

c)       berdasarkan pengertian “falsafah untuk pendidikan”. 

 

Pendekatan “falsafah untuk pendidikan” adalah paling sesuai dan relevan kerana pendekatan ini menganggap bahawa konsep-konsep, andaian-andaian, kaedah dan pendekatan daripada bidang falsafah itu boleh dan patut diterapkan ke dalam pendidikan, tetapi dengan maksud falsafah diperalatkan untuk kepentingan pendidikan dan permasalahannya.

John S. Brubacher (1962) menyatakan bahawa falsafah pendidikan merangkumi lima kegiatan utama iaitu:

a)       Pengesahan dan pensahihan dapatan umum mengenai nilai baik dalam pendidikan.

b)      Mewujud dan mengukuhkan sudut pandangan yang bernas mengenai fenomena pendidikan.

c)       Melahirkan dimensi spekulatif untuk pendidik dan pendidikan.

d)      Memberikan garis panduan yang normatif kepada pendidik dan pendidikan.

e)       Melahirkan daya kritikal dalam bidang pendidikan.

 

Dalam konteks hubungan antara falsafah umum dan falsafah pendidikan, Hasan Langgulung (1987) menjelaskan fungsi falsafah pendidikan sebagai:

a)       Penerapan kaedah dan pandangan falsafah dalam pendidikan, merangkumi mencari konsep-konsep yang dapat menyelaraskan gejala yang berbeza kepada suatu rencana menyeluruh, menjelaskan istilah-istilah pendidikan, mengajukan prinsip atau andaian dasar tempat tegaknya pendidikan dan menyingkapkan klasifikasi yang menghubungkan pendidikan dengan bidang-bidang keprihatinan manusia.

b)      Aktiviti teratur yang menjadikan falsafah sebagai medianya untuk menyusun proses pendidikan, menyelaras dan mengharmoniskannya serta menerangkan nilai-nilai dan tujuan yang ingin dicapai. Ringkasnya, ia menyatukan tiga elemen: falsafah, pendidikan dan pengalaman manusia sebagai satu kesatuan yang utuh.

c)       Satu aktiviti praktikal oleh para pendidik dan filosof untuk menjelaskan proses pendidikan, menyelaraskan, mengkritik dan merubahnya berdasarkan kepada masalah dan pertentangan budaya.

d)      Teori dan ideologi pendidikan yang muncul daripada sikap falsafah seorang pendidik, pengalaman dan kajian-kajiannya tentang pendidikan.

            A. F. Bonifacio (1980) mentakrifkan falsafah pendidikan sebagai usaha-usaha untuk mengkaji dan menganalisis secara objektif kepercayaan-kepercayaan kita sendiri terhadap pendidikan. Manakala F. V. Carino (1980) pula mengatakan bahawa falsafah pendidikan adalah penerapan kaedah-kaedah falsafah ke atas kajian dan pemahaman tentang masalah dan isu-isu berhubung dengan atau pun yang terbit daripada pendidikan.  Ianya melibatkan bukan sahaja analisis ke atas konsep-konsep pendidikan, tetapi mungkin yang lebih penting lagi ialah pembentukan idea-idea intipati, konsep-konsep dan kaedah-kadeah yang dapat membantu usaha-usaha pendidikan dalam penujuannya ke arah masa hadapan.

Pendapat yang terakhir dikemukakan dalam bab ini ialah oleh Al-Syaibany (1979) yang  menyatakan bahawa falsafah pendidikan ialah pelaksanaan pandangan falsafah dan kaedah falsafah dalam bidang pengalaman kemanusiaan yang disebut sebagai pendidikan. Oleh itu, pada pendapat beliau, ia boleh menjelaskan beberapa kegunaan dan kepentingannya seperti yang berikut:

a)       Menolong perancang pendidikan dan pelaksana untuk membentuk pemikiran yang sihat dan berhikmah terhadap proses pendidikan, dan

b)      Menentukan tujuan-tujuan dan fungsi-fungsi pendidikan.

 

Apakah kepentingan falsafah pendidikan dalam menentukan hala tuju dan gagasan pendidikanMalaysiapada era globalisasi ini? Kaitkan hujah dan alas an anda dengan merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

 

AKTIVITI 3

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About Ckgu Zah

Diploma : Pendidikan Islam Degree : Teknologi Maklumat Master : Psikologi Pendidikan

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s