KEPENTINGAN PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF (KBKK) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 

 

ABSTRAK

 

FAIZAH BINTI OTHMAN

SAEMAH BINTI RAHMAN

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

Pada masa kini, kemahiran berfikir merupakan aspek yang penting untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar. Hal ini kerana kemahiran berfikir dapat  memperkembangkan lagi potensi setiap individu khususnya pelajar untuk menghasilkan idea-idea baru. Peranan guru menjadi faktor utama dalam merealisasikan pelajar yang mampu mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam pembelajaran mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana guru-guru mengaplikasikan KBKK  dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan ini meliputi tiga aspek penting yang diperlukan oleh seorang guru iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap guru. Selain itu, kertas konsep ini membincangkan berkenaan perbezaan corak kemahiran berfikir dalam bidang sains, bahasa dan teknikal. Ketiga-tiga bidang ini mempunyai perbezaan corak kemahiran berfikir yang diaplikasikan dan ia adalah bersesuaian bagi setiap bidang. Memandangkan kemahiran berfikir  penting dalam sistem pendidikan, maka kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting tentang pengaplikasian kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Perbincangan ini juga akan mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

 

 

 

 

1.0              PENGENALAN

 

Kertas konsep ini membincangkan kepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif menjadi aspek penting di dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Kepentingannya telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dalam Mok Soon Sang (2002) iaitu ” ……. memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan……..”.  

 

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini perlu dilaksanakan mengikut kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut Abdul Rahim (1999) dalam Sarimah (2008), pemikiran kritis perlu diperkembangkan untuk melahirkan warganegara yang dapat memainkan peranan mereka dengan lebih bertanggungjawab kepada negara. Pendidikan tanpa mengutamakan perkembangan fikiran ibarat ’jasad tanpa roh’. Pendidikan perlu melahirkan golongan yang berkeupayaan berfikir dan mendorong kepada penerusan tradisi intelektual dalam masyarakat.

 

            Kertas konsep ini akan mengupas kepentingan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Berbagai kepentingan dapat dilihat dari aspek politik, ekonomi dan masyarakat. Perlaksanaan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga akan dilihat dari sudut kesediaan guru, kemahiran pedagogi dan sikap individu yang terlibat secara khusus mahupun tidak. Seterusnya bagaimana penyebatian KBKK ini dijalankan oleh guru-guru. Setiap guru mata pelajaran perlu untuk melaksanakan penyebatian KBKK ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

 

 

 

2.0       KONSEP PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF

 

Penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pada masa kini merupakan suatu perkara yang penting dalam bidang pendidikan. Di Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif telahpun diberikan penekanan sejak penggubalan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 (Sulaiman 2000) dalam Sarimah (2008). Proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih sempurna dengan menyebatikan unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut Rajendran (1998a) dalam Rajendran (2001), pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1981 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1989 telah menuntut beberapa perubahan dalam pembinaan kurikulum, pendidikan perguruan, penggunaan strategi pengajaran pembelajaran dan pentadbiran sekolah. Dalam konteks ini, satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah program menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran pembelajaran. Program ini telah diperkenalkan secara rasmi dalam kurikulum sekolah pada tahun 1992 dan dalam kurikulum pendidikan guru pada tahun 1993.  

 

            Beyer (1985) dalam Selva Ranee (2007), menyatakan bahawa ramai pendidik beranggapan bahawa pelajar akan belajar bagaimana berfikir. Menurut Ennis dan Norris (1989), pemikir yang baik tidak semestinya pemikir yang kritis tetapi pemikir yang kritis adalah pemikir yang baik.  Kemahiran berfikir ialah proses menerima maklumat atau rangsangan. Edward de Bono (1990) dalam buku beliau yang berjudul ’I Am Right You Are Wrong’ menurut  Rafiei (1998) mendefinisikan  berfikir sebagai satu proses yang kompleks yang berlaku dalam minda seseorang apabila seseorang itu menerokai pengalamannya secara terperinci untuk mencapai sesuatu tujuan. Tujuan yang dimaksudkan itu mungkin untuk pemahaman, memberi makna sesuatu, menilai sesuatu, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. George (1990) dalam Adnan, Mimi & Kamalularifin (2006) melihat pemikiran  sebagai satu proses penyelesaian masalah dan perlakuan semulajadi yang kompleks.

 

                        Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif adalah proses menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap guru perlulah menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi melaksanakan proses penyebatian KBKK ke dalam mata pelajaran yang diajar masing-masing. Kajian-kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik seperti Bloom et al. (Beyer,1988) menunjukkan orang tidak menguasai secara sendiri proses-proses pemikiran yang kompleks seperti pemikiran kritis dan membuat keputusan. Oleh kerana kemahiran berfikir tidak tumbuh secara automatik atau semula jadi, kita perlu mengembangkannya dalam pendidikan formal.

 

            Teori Roger Sperry (1970) dalam Mok Soon Sang (2009) menghuraikan fungsi otak kiri manusia yang secara kritis dan otak kanan berfikir secara kreatif. Otak kiri mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang berupa logik, analitik, urutan atau susunan, bahasa, fakta, matematik dan ingatan. Manakala otak kanan mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang berupa kreatif, sintesis, warna, reka bentuk seperti corak, pola, ruang, lukisan, gambar, di samping perasaan, irama, muzik dan imaginasi.  Untuk melahirkan pelajar yang sanggup berfikir secara kritis dan kreatif, kedua-dua bahagian otak hendaklah dikembangkan secara seimbang dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang bercorak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

 

2.1  Pemikiran Kritis

 

            Beyer (1988) mendefinisikan pemikiran kritis sebagai proses menilai ketulenan, ketepatan dan nilai (worth) sesuatu pengetahuan, dakwaan (claim), kepercayaan atau perbahasan (argument). Model pemikiran kritis yang dikemukanak oleh Forgarty dan Bellanca (1990) ialah mencirikan, membanding beza, mengklasifikasi, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan, membuat kesimpulan, menentukan sebab dan akibat, menganalisa untuk menentukan bias, menganalisis untuk menentukan andaian, membuat analogi dan menilai. Manakala model pemikiran kritis yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran (1994) adalah seperti mencirikan,membanding dan membeza, mengumpul dan mengelas, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan, menganalisis, menilai dan membuat kesimpulan.

 

            Jelaslah bahawa pemikiran kritis melibatkan proses menilai satu-satu pengetahuan, dakwaan, kepercayaan atau perbahasan berdasarkan maklumat atau pemerhatian dan menimbangkannya secara menyeluruh bagi menyokong kesimpulan yang hendak dibuat. Berfikir secara kritis dapat meningkatkan kefahaman, kejelasan dan keupayaan menggunakan maklumat secara berkesan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.

 

            2.2       Kemahiran berfikir kreatif

 

            Mengikut Perkins (Beyer, 1988) pemikiran kreatif didorong oleh keinginan untuk mencari keaslian (original). Ia menghargai mobiliti, penjelajahan, fleksibiliti dan diversiti. Pemikiran kreatif memberi perhatian bukan sahaja kepada tujuan tetapi juga kepada hasil, berfungsi di tahap tinggi kecekapan dan didorong oleh motivasi intrinsik untuk bertindak secara asli (original). Model pemikiran kreatif yang dikemukakan oleh Forganty dan Bellanca (1990) adalah seperti sumbang saran, memvisualisasi, personafikasi, mencipta, membuat hubungan, membuat inferens, mengeneralisasi, meramal, membuat hipotesis, membuat analogi dan menangani ketaksamaan dan paradok. Manakala model pemikiran kreatif yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan (1994) pula adalah seperti menjana idea, membuat inferens dan menghubungkait.

 

            Pemikiran  kreatif sering dikaitkan dengan usaha-usaha memperkembangkan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti untuk mendapatkan idea-idea yang banyak, pelbagai dan baru. Orang-orang yang berfikiran kreatif dikatakan berupaya menggunakan mindanya untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai.

 

 

3.0       KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF. 

 

Terdapat beberapa kepentingan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Kepentingannya meliputi 3 aspek penting bagi menjamin peningkatan taraf hidup Malaysia iaitu :

 

            3.1  Kepentingan dari aspek ekonomi

 

Menurut Selva Ranee (2007), perkembangan sains dan teknologi yang pesat adalah penting untuk sebuah negara membangun seperti Malaysia untuk menaikkan taraf ekonomi dan menjadikannya sebagai sebuah negara industri baru. Kini, aktiviti ekonomi tradisional telah diambil alih oleh sektor perkilangan serta perkhidmatan yang kompetitif dalam pasaran eksport dan mempunyai nilai tambah yang tinggi. Perancangan masa depan mengandaikan perantaian yang meningkat terhadap pekerja-pekerja mahir Sains untuk menemui permintaan pasaran buruh yang meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, pekerja yang mahir perlu mempunyai kemahiran berfikir kritis dan kreatif di samping menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran teknologi.  

 

            Dalam proses mencapai hasrat ini, sistem pendidikan di Malaysia kini lebih menekankan aspek kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Ini jelas tertera dalam Kurikulum Sekolah Bestari yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan keupayaan kognitif dan kreatif pelajar selain daripada pemupukan nilai-nilai murni. Pemikiran dijadikan asas kepada semua aktiviti “ putting thinking at the centre of all that happens “ (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996) dalam Selva Ranee (2007).  Aktiviti peningkatan ekonomi negara akan menjadi lebih efektif dengan dilingkungi oleh pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran berfikir kritis dan kreatif.

 

            Menurut Sarimah (2008), dalam menuju sebuah negara maju, rakyat Malaysia juga perlu memiliki ilmu dan kemahiran untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Sistem pendidikan bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada rakyatnya. Oleh itu, penyebatian kemahiran berfikir kritis dan kreatif dapat menerapkan unsur-unsur berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran agar pelajar-pelajar kita mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan dan bijak terutamanya tuntutan di alam pekerjaan dalam era teknologi kini.

 

            3.2  Kepentingan dari aspek politik

 

Pembangunan sesebuah negara amatlah bergantung kepada minda dan potensi rakyatnya. Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikuasai oleh rakyat negara tersebut. Rakyat Malaysia pada masa kini memerlukan bukan sahaja pencapaian akademik yang cemerlang malah kebolehan berfikir agar dapat memenuhi keperluan negara maju iaitu sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai keyakinan ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah negara demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing. (Mahathir 1991) dalam Sarimah (2008). Kestabilan politik negara akan menjamin untuk menjadikan sesebuah negara itu mencapai matlamat pembangunannya. Menyedari kepentingan pelajar menguasai kemahiran berfikir kritis dan kreatif ini bagi kestabilan negara menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran mengalami satu perubahan dengan menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalamnya. Menurut kenyataan Alimuddin Mohd Dom, soalan-soalan peperiksaan sekarang memerlukan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif (News Straits Time , 9 Januari 2006) dalam Sarimah (2008).

 

            3.3  Kepentingan dari aspek sosial

 

Kestabilan ekonomi dan politik negara tidak akan terlaksana seandainya masyarakat yang meliputi sesebuah negara itu berada dalam keadaan yang tidak seperti dikehendaki oleh pihak kerajaan. Kini kita hidup di dalam masyarakat yang sangat kompleks dan berkembang maju. Maklumat dan ilmu pengetahuan sering kali berubah. Tambahan pula dengan kemajuan sains dan teknologi yang semakin canggih menyebabkan penyebaran ilmu dan maklumat berlaku dengan cepat. Jadi kita seharusnya bersedia dan sentiasa terbuka untuk terus menimba ilmu pengetahuan bagi menempuh cabaran yang bakal ditempuhi. Ilmu pengetahuan yang dituntut juga perlulah sejajar dengan keperluan negara. Di sinilah peranan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ilmu pengetahuan yang diperolehi tanpa kemahiran berfikir kritis dan kreatif akan menjadikan rakyat tidak mampu bersaing dengan negara maju yang lain. Menurut Chaffee (1977) dalam Siti Rahayah et. al. (  ).

 

            Dalam kehidupan seharian kita sering diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar minda dan kritis. Manakala dalam bidang pendidikan juga kita sering berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita menyoal soalan yang relevan kemudian disokong dengan fakta yang kukuh tentang sesuatu isu yang telah dinyatakan serta memperolehi suatu rumusan berdasarkan kajian yang telah dijalankan. Jelaslah di sini terdapat keperluan untuk kita mempersiapkan masyarakat secara amnya dan juga para pelajar khususnya untuk memiliki kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut pakar-pakar pendidikan (Goldman, Hasselbring et. al. 1997; Montague, Wagner & Morgan 2000) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menegaskan keperluan untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi berkesan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya. Manakala dalam Cornell Critical Thinking Skills (1989) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menekankan keperluan untuk mengintegrasikan kemahiran berfikir di dalam kurikulum di peringkat pengajian tinggi. Jadi adalah penting bagi seseorang graduan untuk memperolehi kemahiran berfikir untuk menjadi pemimpin yang efektif. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu kepentingan untuk disebatikan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.  

 

            Menurut Poh Swee Hiang (1999) dalam Adnan et. al (2006), menyatakan pemikiran kritis amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu dan mampun menggunakan pemikiran mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran kreatif dapat membentuk individu lebih inovatif mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal, imaginatif dan mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi. Apabila kedua-dua kemahiran ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi seterusnya pelajar mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka pembelajaran yang optimum akan berlaku.

 

4.0     ISU-ISU           

 

Hasil tinjauan literatur, kajian-kajian lepas yang telah dijalankan kebanyakannya secara terus mahupun tidak pasti membincangkan mengenai kepepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan  pembelajaran. Di dalam kertas konsep ini, terdapat dua isu utama yang akan diperbincangkan. Isu pertama, adakah penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran? Isu kedua, bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

 

4.1       Isu pertama: Adakah penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran?

 

Peranan yang dimainkan oleh guru dalam menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah begitu penting. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku tanpa unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif akan menjadi tidak efektif. Namun begitu pelajar-pelajar  mempunyai gaya pembelajaran dan pelbagai kecerdasan yang berbeza. Oleh itu penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif merupakan strategi yang berkesan untuk melayan gaya pembelajaran dan pelbagai kecerdasan pelajar.

 

            Setiap manusia mungkin mempunyai lebih daripada satu atau dua jenis gaya pembelajaran. Fungsi gaya pembelajaran ini juga mungkin berbeza mengikut masa, alam sekitar, isu pembelajaran serta juga beberapa ciri mental, fisikal dan psikologi orang yang berkenaan.  Dan mungkin juga, seseorang itu lebih cenderung kepada satu atau eberapa gaya pembelajaran tertentu sahaja. Gaya pembelajaran seseorang itu mungkin juga bersifat dinamis. Ia boleh dikembangkan dan boleh berubah ( Guild, 1994) dalam K.Narayanasamy (2000).

 

            Menurut Felder (1996) dalam Mohd Noor Badlishah (2009), gaya pembelajaran merujuk kepada kecenderungan dan kekuatan pada sesuatu gaya bagi mendapat dan memproses maklumat. Setiap individu mempunyai kekuatan serta kecenderungan yang unik untuk memahami dan memproses memproses maklulmat. Dengan lain perkataan, setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran ditakrifkan sebagai cara unik yang digunakan oleh individu untuk mengambil, memproses, memahami dan mempersepsi maklumat. Gaya pembelajaran juga sering dikaitkan dengan gaya kognitif. Ada individu yang cenderung untuk belajar maklumat yang konkrit (seperti fakta dan konsep, simbolik dan model matematik). Sebilangan besar pelajar lebih suka sekiranya maklumat dipaparkan secara visual (seperti carta alir,gambar rajah, skema) dan ada pula yang lebih gemar sekiranya maklumat diberikan dalam bentuk verbal (seperti kuliah). Sebilangan individu lebih suka belajar secara aktif seperti berbincang dengan rakan serta belajar dengan ’berbuat’, manakala ada sebilangan individu yang belajar secara reflektif iaitu dengan berfikir dan lebih gemar belajar secara sendirian. Ada juga individu yang belajar secara urutan dan memahami perincian dahulu kemudian mendapat gambaran keseluruhan sesuatu konsep, manakala ada pula yang belajar dengan memahami gambaran keseluruhan kemudian barulah memahami perincian sesuatu konsep.

 

            Sekiranya gaya pembelajaran pelajar adalah sama atau selari dengan gaya pengajaran guru, maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif. Sebaliknya, jika gaya pembelajaran pelajar tidak selari dengan gaya pengajaran guru, kemungkinan besar pelajar akan mudah berasa bosan, tidak selesa, kurang memberi tumpuan, mempunyai tanggapan yang negatif  terhadap subjek atau kemungkinan menyebabkan prestasi yang kurang memuaskan dalam sesuatu subjek. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran perlulah seiring dengan keadaan realiti ini. Penyebatian  kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan strategi yang dapat mengisi hasrat ini.

 

            Menurut K.Narayanasamy (2000), seseorang guru yang mengajar kemahiran berfikir akan memberi tumpuan kepada beberapa elemen penting di dalamnya. Di antara elemen-elemen tersebut adalah, salah satu kemahiran berfikir yang spesifik, proses kemahiran berkenaan, metakognisi, pengurusan lisan dalam bentuk soalan dan pengurusan grafik dalam bentuk visual. Misalnya, seorang guru cuba menyebatikan kemahiran berfikir membuat ’banding-beza’ di dalam mata pelajarannya. Beliau akan memberi penekanan terhadap proses-proses utama kemahiran berfikir berkenaan dalam pengajaran dan pembelajarannya. Proses-proses utama kemahiran berfikir membuat banding dan beza yang ditekankan oleh guru tersebut seperti :

 

  • Mengenal pasti perkara/objek yang dibanding bezakan
  • Mencari aspek-aspek persamaan di antara perkara/objek tersebut
  • Mencari perbezaan
  • Sebelum mencari perbezaan, menentukan komponen-komponen perbezaan
  • Mencari perbezaan berdasarkan komponen-komponen tersebut
  • Memberi pendapat/membuat keputusan berdasarkan perbandingan dan perbezaan.

 

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan konteks dan isi kandungan pembelajaran memberi peluang untuk pelajar memproses informasi secara aktif dan reflektif. Teks atau bahan isi kandungan yang digunakan oleh guru membolehkan pelajar beranjak dalam satu kontinum gaya pembelajaran.

 

            Apabila guru menggunakan pengurusan lisan (soalan-soalan berpandukan proses tersebut) pelajar analitik dapat terlibat secara aktif. Mereka dapat mengamati proses berfikir secara abstrak dan memikir secara reflektif. Mereka dapat menganalisis, menaakul dengan lebih berkesan.

 

            Malahan, dengan menggunakan pengurusan grafik, pelajar bukan sahaja melihat proses kemahiran berfikir tersebut secara eksplisit dan konkrit tetapi juga berfikir dan memproses secara aktif. Secara lazimnya, pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir menjadi lebih berkesan dengan menggunakan pengurusan grafik. Pengurusan grafik adalah bentuk visual proses berfikir berkenaan. Pengurusan grafik membolehkan pelajar melihat secara konkrit dan visual, proses berfikir yang terbentang secara abstrak. Kombinasi menggunakan pengurusan lisan dan grafik dalam jangka masa panjang akan membolehkan concrete perceivers menjadi abstract perceivers ((McCarthy 1987) dalam K.Narayanasamy (2000).

 

4.2 Isu kedua: Bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

           

Setiap guru mata pelajaran selain memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap yang sesuai, harus bijak untuk mengatur perancangan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mesti berusaha menukar amalan pengajaran pembelajaran di kelas mereka supaya amalan tersebut benar-benar berbeza dari amalan di kelas konvensional. Menurut Bereiter & Scardamalia, 1987 dalam N.S.Rajendran (2001), pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir memerlukan suasana di bilik darjah yang memberangsangkan pelajar-pelajar supaya mereka turut serta dalam keseluruhan proses tersebut. Ini bermakna pelajar seharusnya terlibat secara langsung dari masa bahan ataupun kandungan sukatan pelajaran dipilih untuk sesi pelajaran dan dalam pemilihan dan pengendalian aktiviti pengajaran pembelajaran.

 

            Pendekatan penyebatian menstruktur semula isi kandungan mata pelajaran untuk mengajar pemikiran secara langsung. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendekatan penyebatian, guru mengajar kemahiran berfikir secara eksplisit, menyebatikan pengajaran pemikiran dalam kandungan pelajaran, membincangkan kemahiran yang digunakan oleh pelajar semasa berfikir dan berusaha untuk meningkatkan cara pemikiran pelajarnya.  

 

            Masa pelajaran diperkongsikan untuk mengajar kedua-dua komponen pelajaran, kandungan pelajaran dan kemahiran atau proses berfikir secara saling berkait. Pendekatan penyebatian mengutamakan empat amalan pengajaran yang mencirikan cara berfikir secara eksplisit iaitu :

 

  • Guru memperkenalkan kemahiran atau proses berfikir dengan menunjukkan pentingnya melakukan kemahiran atau proses berkenaan dengan bijak.
  • Guru menggunakan rangsangan yang eksplisit untuk membimbing pelajar mengamalkan pemikiran yang bijak sambil pelajar mempelajari fakta, konsep dan kemahiran yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran.
  • Guru bertanya soalan-soalan, refleksi yang dapat menjauhkan pelajar daripada kandungan pelajaran supaya pelajar sedar akan bagaimana dirinya berfikir dan mempelajari cara berfikir yang bijak.
  • Guru mengukuhkan lagi stategi berfikir dengan cara menyediakan peluang-peluang tambahan untuk melatih pelajar menggunakan kemahiran atau proses yang sama secara berdikari.

 

5.0      CADANGAN

 

Pada masa kini, sistem pendidikan di Malaysia lebih menekankan aspek penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Gaya pengajaran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Menurut (Lortie, 1975) dalam N.S.Rajendran (2001), guru-guru telah menerima orientasi yang sungguh berbeza daripada apa yang mereka sendiri dikehendaki lakukan di kelas-kelas sebagai pendidik. Mereka memilih untuk mencontohi gaya guru mereka sendiri. Faktor ini menjadi penghalang utama kepada usaha guru dalam membuat inovasi ke atas proses pengajaran pembelajaran mereka. Perlu diakui bahawa perubahan yang dihasratkan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan oleh guru-guru. Namun demikian, guru-guru haruslah dibimbing supaya mereka melihat kepentingan inovasi ini dan membuat perubahan yang diperlukan. Dalam hubungan ini, (Duckworth 1987) dalam N.S.Rajendran (2001), mencadangkan bahawa, ”one of the two aspects of teaching is to have the students try to explain the sense they are making and instead of explaining things to students do try to understand their sense”.

 

            Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkara penting yang perlu diteliti oleh guru-guru ialah merancang pengajaran pembelajaran dengan baik dan teratur. Namun perkara yang menjadi cabaran utama kepada guru-guru ialah ketidaktentuan dalam mengendalikan proses pengajaran pembelajaran.Menurut Atan Long dalam bukunya Pedagogi, Kaedah Am Mengajar (Rafiei, 1998), pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaksi yang berlaku antara tiga komponen penting iaitu guru, murid dan isi pelajaran dalam bilik darjah. Di dalam mengatur perancangan pengajaran pembelajaran guru perlulah mengambil kira dari setiap sudut. Cazden (1979) dalam N.S.Rajendran (2001) telah menunjukkan bahawa penggunaan kemahiran mendengar dan bertutur oleh guru dan pelajar mewujudkan suasana bilik darjah yang boleh menyokong atau menghalang perkembangan beberapa jenis kemahiran berfikir. Memberi klu (clue) dan menyoal juga adalah dua strategi utama yang boleh digunakan oleh guru untuk menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 

            Inovasi pendidikan pada tahun 1981 dan 1989 telah berusaha mengubah pemikiran guru dalam mengendalikan pengajaran dan  pembelajaran di bilik darjah. Inovasi tersebut telah mengharapkan bahawa guru akan menjalankan sebahagian besar daripada pengajaran yang berpusatkan pelajar dan akan menggunakan pelbagai strategi dan teknik untuk melibatkan pelajar dengan aktif ( Pusat Perkembangan Kurikulum, 1981) dalam N.S Rajendran ( 2001). Guru-guru perlu diberi sistem sokongan untuk melaksanakan inovasi di dalam bilik darjah di sekolah masing-masing. Sistem sokongan ini meliputi aspek-aspek seperti bahan rujukan, sumber untuk mengendalikan pengajaran pembelajaran, dan wacana untuk guru-guru membincangkan isu-isu berkaitan pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir. Guru-guru juga diberi kebebasan untuk membuat keputusan masing-masing berhubung dengan pendekatan dan strategi yang bakal digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing. Tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru mempunyai kreativiti tersendiri dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dipengaruhi oleh faktor-faktor termasuk keperluan kurikulum yang begitu padat dan isu peperiksaan pusat.

 

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kelas penting untuk mewujudkan suasana yang memberangsangkan kepada pelajar. Guru mestilah berusaha menukar amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mereka supaya amalan tersebut benar-benar berbeza daripada amalan di kelas konvensional.  Oleh itu, guru perlu memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap yang sesuai untuk melakukan perubahan tersebut. N.S Rajendran ( 2001) menyatakan terdapat perkara-perkara yang asas yang perlu dimiliki oleh guru  iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks mengajar kemahiran berfikir dalam mata pelajaran di sekolah, guru-guru perlu memiliki perkara tersebut untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

 

            Guru juga boleh menggunakan pengajaran kemahiran membaca untuk menggalakkan pelajar supaya mereka menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Satu daripada cara ialah teknik ’reciprocal teaching’ yang diperkenalkan oleh Pallnscar dan Brown (1994) dalam N.S.Rajendran (2001).Teknik ini menggunakan satu proses koperatif di antara guru dan pelajar dalam mengemukakan soalan dan mendapatkan respons dengan tujuan menunjukkan ciri-ciri metakognitif dalam proses membaca. Ini bermakna proses metakognitif boleh digunakan sebelum, semasa dan selepas membaca.

 

            Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. Guru-guru setiap matapelajaran boleh mengaplikasikan penggunaan alat-alat berteknologi untuk memantapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran. Menurut Molnar (1997) dalam N.S.Rajendran (2001), teknologi-teknologi pendidikan sekiranya digunakan dan diaplikasikan dengan betul, akan membawa kesan yang bermakna dalam pembelajaran pelajar.

 

 6.0 KESIMPULAN

 

Salah satu faktor dominan yang menentukan kejayaan sesebuah negara adalah dalam bidang pendidikan. Pelbagai perancangan dan piawaian dilakukan bagi meningkatkan sistem pendidikan negara sejak dahulu lagi sehingga kini. Menyedari kepentingan kemahiran berfikir ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penyebatian kemahiran berfikir khususnya kemahiran berfikir kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi setiap mata pelajaran. Oleh itu guru-guru juga perlulah bersama-sama mengembleng tenaga merealisasikan hasrat kerajaan untuk terus meningkatkan sistem pendidikan negara. Menurut  K.Narayanasamy (2000) guru yang berinovatif dan kreatif perlulah memikirkan pelbagai cara dan aktiviti lain untuk mengatur aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut bidang mereka. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

 

Kerjasama antara guru dan pelajar amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memantapkan lagi adaptasi kemahiran berfikir dalam setiap mata pelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif juga dapat mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Kepentingan penyebatian kemahiran kritis dan kritis juga memberikan kesedaran agar melakukan keseragaman gaya pengajaran mereka dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar-pelajar juga telah dapat mengimbas kembali dan membuat refleksi tentang proses kognitif dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Pelajar telah membuat refleksi dalam menghubungkaitkan apa yang dipelajari dengan proses berfikir untuk memperolehi pengetahuan serta kemahiran sesuatu bidang yang dipelajari. Kesediaan guru juga diambilkira dalam melaksanakan segala apa yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Rakyat yang berfikiran kritis dan kreatif akan menjamin negara agar mampu bersaing dan setanding dengan negara maju yang lain selaras dengan Wasasan 2020.

RUJUKAN

 

Abdul Halim Abdullah & Mohini Mohamed. 2007. Penggunaan Kemahiran berfikir di kalangan pelajar dalam persekitaran perisian geometri interaktif. 1st International Malaysia Educational Technology Convention.

 

Adnan bin Ahmad, Mimi Mohaffyza Mohamad& Kamalularifin Suhari. 2006. Aplikasi corak pembelajaran  kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar dalam subjek pengajian kejuruteraan awam sekolah menengah teknik negeri Johor. Latihan Ilmiah. Universiti Teknologi Malaysia.

 

Beyer, B.K. 1988. Developing a thinking skills program. Boston: Allyn & Bacon

 

Forgarty, R & Bellanca, J. 1990. Teach Them Thinking. Australia: Hawker Brownlow Education

 

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1994. Pukal Latihan Sains Rendah: Modul 3 Kemahiran Berfikir. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum

 

K.Narayaanasamy. 2000. Melayan pelbagai gaya pembelajaran: pengajaran kemahiran berfikir sebagai satu alternatif berkesan. Jurnal Pendidikan TIGAENF. 2(3): 64-70

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 1. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2 Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mohd Noor Badlilshah Abdul Kadir. (  ). Gaya pembelajaran: satu kajian deskriptif terhadap pelajar kolej matrikulasi Perak.

 

Mok Soon Sang. 2009. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi Murid dan alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

 

Mok Soon Sang. 2010. Psikologi Pendidikan Untuk Pengnajaran dan Pembelajaranan. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

 

N.S.Rajendran. 2001. Amalan berdaya fikir pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu dalam bilik darjah. Kertas Kerja. Konvensyen Pendidikan ke-10.

 

N.S.Rajendran. 2001. Pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi: kesediaan guru mengendalikan proses pengajaran pembelajaran. Kertas kerja. Seminar/ pameran projek KBKK.

 

Poh Swee Hiang. 2002. Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif. Kuala Lumpur. Percetakan Sentosa

 

Rafiei Mustapha. 1998. Kajian tentang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah.

 

Sarimah Kamrin. (2008). Tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar sains tingkatan empat di daerah Kulai merentas etnik.

 

Selva Ranee Subramaniam. 2007. Penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran kimia secara kontekstual. Jurnal pendidikan.27(1) : 85-98.

 

Siti Rahayah Ariffin, Rosadah Abd Majid, Zolkepeli Haron, Rodiah Idris, Anisa Alias, Shahir Samsuri, Basri Hassan, Nor Azaheen Abdul Hamid.  (  ). Kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah pelajar-pelajar sains di Malaysia. 

 

Zainudin Hassan, Hamdan Said, Jamilah Omar & Haslita Hassan.2006. Pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran kemahiran hidup bersepadu di sekolah menengah daerah Kota Bahru, Kelantan.Universiti Teknologi Malaysia.

 

Mohd izham& Norazah.  http://www.iab.edu.my/Jurnal/Jurnal%202007/IntICT.pdf.  19 Oktober 2010

Perihal Ckgu Zah

Diploma : Pendidikan Islam Degree : Teknologi Maklumat Master : Psikologi Pendidikan

One response »

  1. Cara Jutawan berkata:

    Salam,

    Terutamanya Pemilik blog ini..
    Nama saya Mr.os hehe orang panggil
    saya wald,saya orang baru kat blog ini
    diharap kedatangan saya di sini di alu-alu
    oleh pemilik blog ini,….:)

    Saya akan kembali lagi
    dengan tips yang berguna:)

    Terima Kasih
    oswald
    Berfikir Cara Saya

    • Ckgu Zah berkata:

      wslm,

      T.kasih krn sudi mengunjungi laman blog ini. Namun begitu blog ini digunakan hanya sekadar utk perkongsian ilmu tanpa ada urusan perniagaan & kepentingan individu. Segala bentuk perbincangan ilmiah amatlah dialu-alukan :)

  2. yusmanita berkata:

    tq diatas info yg dikongsikan…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s